WHAT'S ON

PAAB Sumbang RM500,000 Kepada Dana Wakaf Air

KUALA LUMPUR, 1 APRIL – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menyerahkan RM500,000 kepada Dana Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air (Wakaf Air) di bawah Wakaf Tunai Malaysia Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali, syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) ini menyahut seruan kerajaan supaya menghulurkan sumbangan kepada Wakaf Air sebagai usaha kerajaan untuk membekalkan air bersih terawat kepada rakyat terutama di luar bandar.

Beliau berkata, Wakaf Air merupakan inisiatif Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dengan kerjasama YWM bertujuan mengumpul dana wakaf bagi membiayai projek-projek perkhidmatan air berskala kecil merangkumi sumber air, bekalan air dan pembentungan dalam skala kecil dengan kos projek bernilai di bawah RM50,000.

Abdul Hadi berharap, sumbangan dana Wakaf Air ini menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan air yang yang akan dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira agama dan kaum.

Majlis Penyerahan Sumbangan Wakaf Air PAAB Kepada Yayasan Waqaf Malaysia disaksikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dengan PAAB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Hadi Ali dan YWM diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Prof. Madya Dr. Amir bin Shaharuddin.

Antara projek perkhidmatan air yang berpotensi dibangunkan hasil sumbangan dana Wakaf Air ini termasuklah sistem pengepaman sumber air dari perigi, pembelian alat-alat ganti, penyelenggaraan bersifat ‘sekali beri’ (one-off), dana bantuan operasi pencegahan serta pemulihan sistem bekalan air luar bandar; dan penyediaan sumber air alternatif yang melibatkan kos penyelenggaraan yang rendah dan selamat digunakan.

Masyarakat termasuk kakitangan PAAB juga digalakan untuk turut sama dalam pelaksanaan Wakaf Air, dengan berwakaf secara tunai melalui Sistem Wakaf Tunai Malaysia ke akaun Yayasan Waqaf Malaysia di RHB Islamic Bank melalui nombor akaun 2124-57600-01304 atau secara potongan gaji. Setiap sumbangan layak mendapat potongan cukai pendapatan di bawah Seksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967

PAAB ditubuhkan pada tahun 2006 dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi membantu Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan Pelan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara sebagai syarikat yang bertanggungjawab membangunkan aset air di Semenanjung Malaysia dengan kadar pembiayaan yang kompetetif.

KHAIRIL AMRI TAJUDDIN

Corporate Communications

Pengurusan Aset Air Berhad

03-2614 5535 / 017 4060 717 khairil@paab.my

Posted in , and tagged