WHAT'S ON

PAAB Ikrar Bantu Kerajaan Tangani Pandemik Covid-19

Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menyokong penuh Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri YAB Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Md Yassin bagi membolehkan negara keluar daripada krisis pandemik Covid-19 secara berfasa menjelang akhir tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Hadi Ali, pelan yang merangkumi empat fasa itu dilihat mampu dilaksanakan secara berkesan menerusi tiga indikator termasuk keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Sebagai langkah permulaan, beliau berkata, PAAB akan memastikan agar semua kakitangannya mendapat suntikan vaksin Covid-19 secepat mungkin walaupun ini bermakna PAAB harus menanggung kos vaksinasi kakitangannya, serta menyarankan kontraktor yang terlibat dengan semua projek yang dikendalikannya untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dengan segera.

Jelasnya, ia bagi memastikan usaha kerajaan untuk membuka semula sektor pekerjaan, sektor ekonomi negara dan aktiviti sosial lain dapat dicapai serta untuk kebaikan bersama bagi membolehkan urusan harian di tempat kerja berjalan lancar.

Selain itu, Abdul Hadi memaklumkan, PAAB turut menggalakkan kakitangannya merebut peluang untuk menjadi sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) bukan kesihatan di 276 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

Ia penting berikutan MyVAC memerlukan seramai 3,600 sukarelawan sehari bagi mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan serta melancarkan operasi pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia yang merupakan salah satu teras indikator untuk memastikan Pelan Pemulihan Negara dapat dilaksanakan secara berkesan.

Tambah Abdul Hadi, PAAB juga mengambil langkah perlu bagi mengekang penularan wabak Covid-19 terutama di tempat kerja termasuk mengarahkan 80 peratus kakitangannya bekerja dari rumah (BDR) serta mensyaratkan kontraktor-kontraktor yang terlibat dengan kerja-kerja pembinaan projek PAAB untuk mendapatkan permit daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Selain itu, PAAB juga sentiasa memastikan semua kakitannya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa sama ada di tempat kerja, BDR dan ketika keluar rumah.

Ujar Abdul Hadi, sebagai tanda sokongan, PAAB juga menyarankan pengurusan kanan syarikat serta setiap kakitangannya membuat pemotongan elaun tetap selama tiga bulan untuk disalurkan kepada Tabung Amanah Kementerian Kewangan (MoF). Keputusan yang sama juga diambil oleh semua Ahli Lembaga Pengarah PAAB.

Inisiatif berkenaan dibuat bagi menyahut saranan kerajaan untuk membantu golongan yang terkesan dengan pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu sekaligus dapat mempercepatkan usaha kerajaan menangani wabak Covid-19.

PAAB ditubuhkan pada tahun 2006 dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi membantu Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan Pelan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara sebagai syarikat yang bertanggungjawab membangunkan aset air di Semenanjung Malaysia dengan kadar pembiayaan yang kompetetif.

KHAIRIL AMRI TAJUDDIN

Komunikasi Korporat

Pengurusan Aset Air Berhad

khairil@paab.my / 017- 4060717

Posted in and tagged