WHAT'S ON

PAAB Peruntuk RM300,000 Bantu Penduduk Kuantan Pasca Banjir

Kuantan, 6 Februari – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memperuntukkan kira-kira RM300,000 sebagai sokongan untuk membantu penduduk di sekitar daerah Kuantan, Pahang pasca banjir besar yang melanda daerah ini, Disember tahun lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali, sumbangan pasca banjir itu melibatkan 10 institusi yang ditenggelami air bah termasuk Sekolah Kebangsaan Panching, Sekolah Menengah Sri Damai, Rumah Anak Yatim Permata Insyirah Kuantan, Rumah Anak Yatim Permata Al Kauthar Muqarrabin Kuantan, Surau Al Falah Kampung Teluk Mahang, Masjid Jamek Kampung Melayu Sungai Lembing, Masjid Ittifqiyyah Taman Seri Inderpura, Ma’ahad Tahfiz Riyadus Solehin Jalan Kuantan-Pekan, Ma’ahad Tahfiz Muhammadi dan Maahad Tahfiz Al Muttaqin dengan masing-masing menerima RM10,000.

Tambahnya, PAAB selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut membantu 1,000 keluarga Malaysia di sekitar daerah ini yang menerima bantuan barangan keperluan harian, kit pembersihan, bantal, tuala, selimut dan beras 10 kilogram bagi meringankan beban yang dialami akibat kemusnahan harta benda dalam musibah banjir di daerah ini pada hujung 2021.

Beliau berkata, sokongan padu dan jitu daripada keluarga Malaysia amat diperlukan pada waktu ini untuk memastikan semua mangsa banjir tidak kira warga emas, dewasa mahupun kanak- kanak dapat bangkit daripada trauma yang dialami mangsa banjir.

Abdul Hadi berucap ketika merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Misi Pasca Banjir PAAB Prihatin yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad, Saiful Zaini Mohd Bokhari dan Timbalan Presiden Malaysian Relief Agency (MRA) Khairil Annuar Khalid di Kuantan.

PAAB ditubuhkan pada tahun 2006 dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi membantu Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan Pelan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara sebagai syarikat yang bertanggungjawab membangunkan aset air di Semenanjung Malaysia dengan kadar pembiayaan yang kompetitif.

Pahang merupakan antara negeri yang telah menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhimatan Air Negeri selepas Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memuktamadkan perjanjian pada Disember 2020 membabitkan kos keseluruhan RM2.1 bilion.

Dalam tempoh 5 tahun akan datang, PAAB akan membantu PAIP mengukuhkan kedudukan kewangannya bagi membangunkan aset-aset air yang baharu di Pahang berdasarkan pendekatan bina dan pajak bagi menyelesaikan krisis air sekaligus membolehkan pengguna di seluruh negeri ini menikmati perkhidmatan bekalan air yang lebih efisyen.

KHAIRIL AMRI TAJUDDIN

Komunikasi Korporat

Pengurusan Aset Air Berhad

khairil@paab.my / 017-4060717

Sumber :

https://www.bernama.com/bm/am/news_bencana.php?id=2049685

http://berita.rtm.gov.my/index.php/nasional/34402-span-luluskan-rm920-juta-tampung-keperluan-air-pahang

https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/186532

https://www.msn.com/en-my/news/berita/tiga-loji-air-baharu-akan-dibina-di-pahang/ar-AATwoda?li=AAAHkOw

https://www.bernama.com/en/general/news_disaster.php?id=2049726

https://www.thestar.com.my/news/nation/2022/02/06/rm920mil-approved-to-improve-water-infrastructure-in-pahang-says-paab

https://www.thesundaily.my/local/rm920-mln-approved-to-improve-water-infrastructure-in-pahang-DN8834036

https://www.malaymail.com/amp/news/malaysia/2022/02/06/air-pahang-rm920m-approved-to-improve-water-infrastructure-in-state/2039835

https://malaysianow.net/air-pahang-rm920m-approved-to-improve-water-infrastructure-in-state/amp/

https://www.thevibes.com/articles/news/53672/pahang-approves-rm920-mil-to-improve-state-water-infrastructure

https://headtopics.com/my/rm920mil-approved-to-improve-water-infrastructure-in-pahang-says-paab-23917509

Posted in and tagged ,