PAAB SERU KONTRAKTOR PATUHI ASPEK KESELAMATAN

KUALA LUMPUR – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) komited untuk memastikan pembangunan projek bernilai RM2.4 bilion di seluruh negara dilaksanakan selari dengan garis panduan keselamatan.
Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir. Zulkiflee Omar berkata, PAAB mahu memastikan semua kontraktor serta perunding di tapak projek mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Katanya, Jabatan Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE) PAAB turut memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan projek selari dengan garis panduan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), termasuk Pelan Tindak Balas Kecemasan (ERP) dan langkah Pengenalpastian Bahaya (HIRARC).
“Sebarang kelewatan akibat insiden dan isu keselamatan boleh menjejaskan tempoh siap projek dan akhirnya memberi kesan kepada komuniti yang bergantung kepada projek naik taraf infrastruktur air ini,” ujarnya selepas majlis pelancaran Safety and Sustainability Day 2025 anjuran PAAB di Pullman Kuala Lumpur City Centre di ibu negara pada Selasa.
Menurut beliau, PAAB tetap menitik beratkan amalan kepada prinsip budaya sifar kemalangan sebagai teras operasi terutama di kawasan pembinaan demi manfaat rakyat dan kelestarian masa hadapan.
Projek-projek itu melibatkan negeri Kelantan, Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Pahang yang sebahagiannya merupakan negeri yang menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara.
Projek terbabit meliputi pembinaan serta naik taraf loji rawatan air (LRA) baharu selain inisiatif penggantian jajaran paip uzur berskala besar yang dibiayai menerusi terbitan sukuk oleh PAAB.
Antara projek utama sedang dilaksanakan termasuk Fasa 2 Loji Rawatan Air Layang 2 di Johor dengan kapasiti 160 juta liter sehari (MLD), Loji Rawatan Air Tok Bali di Kelantan dengan kapasiti 50 MLD, serta kerja-kerja penggantian paip sepanjang 659 kilometer di Johor, Kelantan dan Pahang.
Zulkiflee berkata, skala, kerumitan dan kepentingan projek ini menuntut komitmen tinggi dalam memastikan pelaksanaan yang selamat, lancar dan menepati masa.
PAAB, yang ditubuhkan pada Mei 2006 melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, berperanan membantu Kerajaan Persekutuan merealisasikan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara.
Syarikat ini bertanggungjawab membangunkan aset air di Semenanjung Malaysia dengan akses kepada kadar pembiayaan yang paling kompetitif. – Sinar Harian