WHAT'S ON

PAAB Rancang Pembangunan Loji Rawatan Air Baharu Di Kelantan

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) merancang pembinaan beberapa loji rawatan air baharu di Kelantan, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata antaranya sebuah loji baharu akan dibina di Semerak, Pasir Puteh dengan kapasiti 50 juta liter sehari.

“Buat masa ini, air dibeli dari Terengganu untuk menampung keperluan yang tidak mencukupi di kawasan itu. Menerusi pembangunan baharu ini, kami jangka ia dapat memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 penduduk di situ,” katanya ketika hadir di Majlis Sambutan Hari Raya PAAB di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi PAAB Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan perbincangan antara PAAB dan kerajaan Terengganu berkenaan perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri itu berjalan lancar.

Menurutnya kerajaan Terengganu bakal menerima manfaat sekiranya perjanjian penstrukturan air itu dilaksanakan seperti yang diterima kerajaan negeri lain dalam tadbir urus perkhidmatan air, antaranya pelupusan hutang air luar bandar dan penyediaan dana untuk menaik taraf fasiliti.  

“Kami nampak ia sangat positif dan perundingan serta tadbir urus perjanjian ini akan terus diperkukuh,” katanya apabila ditanya tentang indikasi penerimaan kerajaan Terengganu terhadap perjanjian itu.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata kajian semula tarif air wajar dilaksanakan memandangkan tarif di beberapa negeri tidak pernah disemak semula sejak 38 tahun lepas.

Walaupun begitu, beliau memberi jaminan sebarang kenaikan tidak akan memberi kesan kepada rakyat terutamanya golongan B40.

“Kami buat unjuran supaya sebarang kenaikan tidak memberi kesan kepada B40 dan golongan miskin. Walaupun ada kenaikan, kami fokus kepada tarif yang dikenakan kepada industri dan sebagainya.

“Kami mengambil kira faktor bebanan dan kesusahan kepada rakyat, tetapi pada masa sama operator air juga memerlukan dana untuk naik taraf dan menyelenggara infrasruktur,” katanya.

— BERNAMA

Sumber : BERNAMA – PAAB rancang pembangunan loji rawatan air baharu di Kelantan

Posted in and tagged