WHAT'S ON

PAAB peruntuk RM52 juta naik taraf bekalan air di Pahang

MARAN, 14 Feb (Bernama) — Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) memperuntukkan RM52 juta kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) untuk melaksanakan pelbagai projek mini di setiap daerah di negeri ini dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PAAB Abdul Hadi Ali berkata buat permulaan, pihaknya telah meluluskan RM19 juta untuk projek penggantian paip uzur sejauh 20 kilometer di Maran.

“Selain projek RM19 juta itu, sebanyak sepuluh projek mini melibatkan perbelanjaan RM33 juta dalam proses mendapatkan kelulusan dan ia membabitkan hampir semua daerah di Pahang, antaranya Maran, Raub dan Temerloh.

“Projek mini ini antaranya meliputi penggantian paip dan pam loji air yang uzur serta menaik taraf loji air sedia ada…pelan perniagaan ini dibuat dalam tempoh tiga tahun dan jika peruntukan disediakan tidak habis, ia boleh dibawa ke hadapan,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Aspirasi dan Kempen Kesedaran Air PAAB di Sekolah Kebangsaan (SK) Kertau, Chenor di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata peruntukan bagi projek pembinaan loji air baharu di Pahang pula masih berada di peringkat perbincangan antara PAAB dan PAIP kerana ia membabitkan kos perbelanjaan yang besar.

“Projek penambahbaikan bekalan air di Pahang ini baru sahaja aktif pada tahun ini dan masih banyak yang perlu dikaji termasuk pembinaan loji air baharu.

“Ini kerana pembinaannya agak kompleks dan memerlukan kajian teliti sama ada ia sesuai dalam memenuhi keperluan orang ramai di sesuatu kawasan,” katanya.

Mengulas mengenai program hari ini, Abdul Hadi berkata SK Kertau merupakan sekolah ke-11 yang dipilih bagi program PAAB School Sustainability, iaitu program tanggungjawab sosial korporat yang melibatkan peruntukan dana RM500,000 bagi 2020 hingga tahun ini.

Sebanyak 11 sekolah yang dipilih merupakan sekolah di lima negeri yang menandatangani Pelan Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Negeri Pahang yang dimuktamadkan pada Disember 2020.

Sumber : BERNAMA – PAAB peruntuk RM52 juta naik taraf bekalan air di Pahang

Posted in and tagged ,