WHAT'S ON

PAAB Peruntuk Rm471 Juta Bina Sembilan, Naik Taraf Satu LRA Di Kelantan

KOTA BHARU, 13 Mac — Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) memperuntukkan kira-kira RM471 juta bagi membina sembilan dan menaik taraf satu loji rawatan air (LRA) yang bakal menyumbang 125 juta liter air sehari (JLH) kepada rakyat negeri ini.

Pengerusinya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata pembinaan tersebut melibatkan LRA Semerak dengan kapasiti 50 JLH; LRA Chicha (20 JLH); LRA Tanjung Mas (30 JLH); LRA Bukit Chupak (10 JLH) serta lima LRA mini di Pengkalan Chepa, Bechah Mulong, Kampung Pengkalan Kubor, Kampung Laut dan Kampung Paloh merangkumi 15 JLH.

Beliau berkata LRA Semerak, yang dijangka siap pada 2026, akan memberi manfaat kepada 300,000 penduduk di jajahan Bachok dan Pasir Puteh.

“Daripada peruntukan itu juga, PAAB turut bersetuju untuk menaik taraf LRA sedia ada iaitu di Merbau Chondong bagi meningkatkan kapasitinya daripada 45 JLH kepada 95 JLH dan menjalankan kerja-kerja menggantikan paip lama sepanjang 378 kilometer (km) merentasi setiap jajahan di Kelantan.

“Kerja-kerja pembinaan kesemua projek tersebut akan bermula pada separuh kedua tahun ini dan dijangka siap secara berperingkat antara 2024 sehingga 2026, sekali gus dapat mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) serta kos operasi kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan majlis perjumpaan bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Datuk Azami Mohd Nor di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Khairuddin berkata pihaknya berharap apabila kesemua projek berkenaan siap kelak, ia dapat mengatasi masalah gangguan bekalan air yang sering dihadapi oleh rakyat Kelantan.

“PAAB sebelum ini juga telah melaksanakan beberapa projek seperti pembinaan lima telaga tiub berkapasiti 7.5 JLH di LRA Chicha dan LRA Kampung Puteh di Kota Bharu yang telah siap sepenuhnya pada tahun 2019, serta pemasangan paip air baharu dan penggantian paip lama sepanjang 110 km yang berjaya disiapkan tahun lepas.

“Selain itu, buat masa ini juga terdapat dua projek pada peringkat pembinaan iaitu membabitkan pembinaan telaga tiub (12 JLH) di Loji Rawatan Air Tanjung Mas dan pemasangan paip dari Medan Telaga, Kg Tok Jaafar ke LRA Pintu Geng yang dilaksanakan di bawah penyeliaan AKSB,” katanya.

Sementara itu, Azami berkata pihaknya akan membantu memudahkan urusan bagi jabatan berkaitan untuk pembinaan kesemua projek itu termasuk bahagian teknikal.

— BERNAMA

Sumber : https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2061447