WHAT'S ON

PAAB Mulakan Pembinaan Terowong Air Berkembar Pertama Di Malaysia

HULU LANGAT, 29 Okt (Bernama) — Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) memulakan kerja-kerja pembinaan terowong ‘Inlet Portal’ yang merupakan sebahagian daripada projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 untuk menghubungkan paip air dari Kolam Air Imbangan Hulu Langat ke Kolam Air Ampang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Hadi Ali berkata, Terowong Koridor Utara sepanjang 2.2 kilometer dengan garis pusat 3.2 meter setiap satu itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia yang masing-masing berfungsi untuk menyalurkan air terawat dan tempat simpanan air (kolam air).

Beliau berkata, terowong berkenaan berupaya menyalurkan 290 juta liter air sehari (MLD) untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan sekitar Ampang, Keramat dan Hulu Klang, serta dijangka siap sepenuhnya pada 30 September 2023.

Tambahnya, pembinaan terowong berkembar ini merupakan sebahagian usaha PAAB dalam memelihara alam sekitar membabitkan kawasan di Hutan Simpan Hulu Langat dan Hutan Simpan Bukit Sungai Putih, Selangor serta boleh menjadi penanda aras kepada pemaju lain untuk lebih peka terhadap kesan kepada flora dan fauna.

Majlis Pecah Tanah Terowong Koridor Utara Loji Rawatan Air Langat 2 di Hulu Langat disempurnakan oleh Pengerusi PAAB, Datuk Seri Hasan Arifin yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali.

PAAB bertanggungjawab membangunkan LRA Langat 2 yang merangkumi 23 pakej membabitkan kawasan termasuk Hulu Langat, Cheras, Sungai Besi, Bukit Jalil, Petaling, Bandar Kinrara, Bukit Dengkil, Ampang serta Keramat AU3.

Ia merupakan projek LRA terbesar di Asia Tenggara yang mula dibina pada Mac 2014 dengan keseluruhan projek telah mencapai kemajuan 88 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2023. LRA Langat 2 berupaya membekalkan keperluan 1,130 juta liter air sehari kepada penduduk di Lembah Klang sekali gus meningkatkan rizab bekalan air di Selangor.

Kerajaan persekutuan bersetuju membina LRA Langat 2 dengan kos RM3.7 bilion bagi menampung keperluan dan permintaan tinggi bekalan air di Lembah Klang.

SUMBER: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Khairil Amri Tajuddin
Corporate Communications
Pengurusan Aset Air Berhad
Tel: 03-2614 5535 / 017 4060 717
E-mel: khairil@paab.my

BERNAMA – PAAB Mulakan Pembinaan Terowong Air Berkembar Pertama Di Malaysia

Posted in and tagged