‘Syukur anak-anak tabah’

“SAYA bersyukur anak-anak tidak trauma dengan kejadian yang berlaku. Walaupun ayah mereka terkorban ketika bertugas, anak-anak sangat tabah.

“Cuma saya sendiri rasa kehilangan amat sangat lebih-lebih lagi ketika ini sedang menunggu masa untuk melahirkan anak keempat,” kata Katijah Abdul Karim, 36, balu kepada Allahyarham Mohamad Suhaimi Khamis, 38.

Mohamad Suhaimi, maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 372 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara dekat Slim River, 23 Februari lalu.

Sebelum ini, katanya, suami yang banyak membantu termasuk menghantar ke klinik untuk pemeriksaan bulanan.

Katanya, arwah suami juga menghantarnya ke hospital ketika melahirkan tiga cahaya mata iaitu kembar Mohamad Ammar serta Mohamad Ameer kini berusia sembilan tahun dan Nur Afiqah, 8.

Menurutnya, dia dijangka bersalin pada 15 Mei depan ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.

Berikutan pemergian suami Katijah, bercadang meminta bantuan adik-beradik atau jiran terdekat menghantar ke Hospital Serdang apabila sampai waktu melahirkan anak.

“Kandungan saya sudah pun 37 minggu tiga hari. Ketika sudah sarat mengandung kali ini, perasaan saya rasa semakin sensitif.

“Saya berdoa supaya semuanya Allah permudahkan dan dapat mengawal perasaan sedih yang membuak.

“Suami pergi sekelip mata. Saya reda dan menuruti perjalanan hidup yang Allah sudah tentukan,” katanya sebak.

Beliau ditemui ketika menerima kunjungan daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di kediamannya di Pangsapuri Melur, Taman Bukit Kinrara, Puchong, hari ini.

Menurutnya, sejak kematian suami dia tidak lagi keluar berniaga kuih dan mungkin menyambung semula perniagaan selepas tamat tempoh edah.

“Kalau keluar pun bawa anak-anak ziarah pusara arwah bapa mereka di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 Subang Jaya.

“Semalam pun saya bawa mereka ke sana. Saya syukur anak-anak sudah membiasakan diri dengan ketiadaan ayah mereka selama-lamanya.

“Mereka kerap menghadiahkan al-Fatihah untuk arwah seperti yang saya sarankan,” katanya yang menjelaskan dia tidak tahu jantina untuk anak kandungan kali ini.

Dia merancang untuk menamakan bayinya Mohamad Aiman jika lelaki dan Nor Atiqah bagi perempuan.

Graduan Diploma Ukur Tanah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah dan pernah bekerja sebagai juru ukur tanah sebelum memutuskan berhenti kerja untuk menjaga anak-anaknya turut menyatakan penghargaannya kepada ramai pihak yang memberi sumbangan sekali gus dapat meringankan bebannya.

Orang ramai ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 164838012905 atas nama Katijah Abdul Karim.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat PAAB Rozaifee Abu Zaharim berkata, bantuan disampaikan adalah hasil sumbangan kakitangan syarikat itu.

Rozaifee berkata, bantuan disampaikan diharap dapat meringankan beban Katijah, membuat persediaan menyambut Ramadan dan kelengkapan Aidilfitri.

Katanya, turut disampaikan adalah barangan keperluan harian, peralatan elektrik bernilai RM2,000 dan wang zakat RM1,000.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Mohamad Suhaimi yang memandu lori tangki membawa muatan diesel, maut rentung selepas kenderaan dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lori lain dalam kemalangan itu.

Beberapa foto dan video mengenai kejadian itu turut tular di laman sosial dan WhatsApp.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 7:53 PM

Amir Abd Hamid

amir_hamid@mediaprima.com.my

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/05/451327/syukur-anak-anak-tabah