Rakyat Kelantan gembira selepas 25 tahun ‘menderita’ hadapi masalah air

SEJAK lebih 25 tahun lalu rakyat di Kelantan mengeluh mengenai perkhidmatan bekalan air bersih dan kemuncaknya sebelum Ramadan lalu apabila masalah tersebut bertambah buruk apabila ada di antara kawasan strategik yang tidak pernah terjejas sejak sekian lama turut terkesan.

Rungutan rakyat itu bukan omong kosong sebaliknya disokong bukti kukuh daripada Laporan Ketua Audit Negara 2015 yang mendapati operator air di negeri itu iaitu syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) telah gagal menyelenggara loji rawatan air yang menjadi antara faktor air karat dibekalkan kepada pengguna.

Dan rakyat juga telah terlalu banyak berkorban mengeluarkan wang untuk mendapatkan bekalan air bersih seperti membina telaga tiub, memasang penapis tambahan dan menghantar pakaian ke kedai dobi untuk memastikan baju dan seluar mereka tidak berwarna karat.
Semua kesengsaraan itu bakal berakhir. Yang dinantikan sejak sekian lama akan menjadi kenyataan apabila Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pas Kelantan memuktamadkan Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Negeri atau lebih dikenali dengan Migrasi Air.

Melalui pelan ini, Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB) iaitu anak syarikat Kementerian Kewangan akan mengambil alih semua aset air di Kelantan dan memberikan modal kepada AKSB untuk menguruskan bekalan air bersih kepada lebih sejuta rakyat.
AKSB pula tidak lagi perlu pening kepala untuk mencari modal dan mereka hanya perlu fokus kepada operasi kerana umum sedia maklum industri air melibatkan kos yang amat tinggi.

Penstrukturan ini bukan bermakna Kerajaan Pusat tidak pernah membantu Kelantan untuk menguruskan operasi bekalan air bersih sebelum ini. Untuk rekod, Kerajaan Pusat telah memberikan pinjaman mudah lebih RM700 juta dan pelbagai peruntukan lain melalui agensi sejak tahun 2000 kepada Kerajaan Pas Kelantan yang menjadikan jumlah keseluruhannya lebih RM1 bilion.
Namun Migrasi Air ini merupakan langkah untuk menambah baik perkhidmatan bekalan air di Kelantan yang pada masa sekarang hanya meliputi 65 peratus rakyatnya sahaja, di antara negeri yang terendah mendapat bekalan air bersih.

Ini merupakan contoh Kerajaan Pusat membantu Kelantan biarpun diperintah oleh parti berbeza yang pada masa sama terus memberikan hak kepada Kerajaan Pas Kelantan ke atas hasil buminya.

Selain itu, hubungan baik di antara kedua-dua kerajaan tersebut pada masa kini telah memudahkan semua urusan untuk membantu rakyat.
Rakyat Kelantan pasti meraikan kejayaan ini dengan gembira tetapi jangan meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana tugas untuk memulihkan semula bekalan air bersih di negeri ini masih panjang.