LRA LANGAT 2 JAMIN BEKALAN AIR MENCUKUPI
HULU LANGAT, 4 Julai – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yakin pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 dapat disiapkan mengikut jadual. Pembinaan LRA yang terbesar di Asia Tenggara itu bermula pada Mac 2014 dan keseluruhan projek telah 72 peratus siap.
Projek berkenaan juga dilaksanakan mengikut perancangan yang merangkumi 15 pakej membabitkan kawasan termasuk Hulu Langat, Cheras, Sungai Besi, Bukit Jalil, Petaling, Bandar Kinrara, Bukit Dengkil, Ampang serta Keramat AU3.
LRA Langat 2 dibina berikutan permintaan tinggi, peningkatan penduduk serta pertumbuhan pesat di Lembah Klang. Permintaan bekalan air dijangka meningkat sebanyak 3-4% setiap tahun dan kapasiti bekalan air terawat perlu ditingkatkan bagi mengelak masalah krisis air menjelang 2020.
Berdasarkan statistik pada tahun 2014, setiap hari penduduk di Selangor memerlukan 4,907 juta liter air sedangkan pengeluaran hanyalah 4,431 juta liter air sehari menerusi 34 LRA di seluruh negeri.
Kerajaan persekutuan bersetuju membina LRA Langat 2 dengan kos RM3.7 bilion bagi menampung keperluan dan permintaan tinggi bekalan air di Lembah Klang. Apabila siap kelak, LRA terbabit berupaya menyumbang kepada 1,130 juta liter bekalan air yang mencukupi kepada penduduk di Lembah Klang setiap hari sehingga tahun 2025 serta penyelesaian untuk menangani krisis air daripada berulang.
Justeru, PAAB berharap usaha pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash) oleh kerajaan Selangor dapat diselesaikan segera supaya memudahkan usaha Kerajaan Persekutuan melalui PAAB untuk menyerahkan operasi LRA Langat 2 kepada Negeri Selangor dan syarikat-syarikat konsesi untuk memastikan bekalan air terawat di Lembah Klang mencukupi.
Khairil Amri Tajuddin
Corporate Communication
Pengurusan Aset Air Berhad
03 26145535 / 017 4060717
khairil@paab.my