RAWANG, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berkongsi kemeriahan Aidilfitri bersama 31 anak yatim dengan membeli kelengkapan dan persiapan baju raya dalam Program ‘PAAB Prihatin : Shop & Share’ Aidilfitri. Ia bertujuan mengajak mereka merasai kegembiraan dan keriangan menjelang Hari Raya yang bakal diraikan tidak lama lagi.
Program bersama anak yatim dari Pusat Jagaan Budaya Harapan, Saujana Rawang itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) PAAB sepanjang tahun ini. Sejak ditubuhkan pada 2006, PAAB begitu proaktif dalam menggerakkan kerja-kerja amal untuk mendekati masyarakat dan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.
PAAB memperuntukkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada 31 anak yatim berkenaan untuk membeli kelengkapan Aidilfitri mereka di Pusat Pakaian Hari-Hari, Bandar Baru Rawang, Selangor. Antaranya termasuk baju melayu, sampin, songkok, baju kurung dan kasut.
Selain itu, PAAB turut berbesar hati menerima sumbangan hijab untuk kanak-kanak perempuan hasil tajaan Butik Fesyen Muslimah, Falah Abiyana. Adabi Consumers Sendirian Berhad juga tidak ketinggalan menyumbangkan produk-produknya kepada Pusat Jagaan Budaya Harapan untuk keperluan harian sepanjang Ramadan ini.
Sumbangan diserahkan oleh Pengerusi PAAB, Tan Sri Dato’ Seri Diraja Tajol Rosli Ghazali dan kesemua 31 anak yatim berkenaan diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa di Restoran Mohamad Chan, Bandar Baru Rawang.
PAAB berharap, usaha baik ini dapat dikongsi kepada masyarakat supaya mereka tahu ada golongan yang kurang bernasib baik memerlukan perhatian dan tidak mahu melihat anak yatim ini merasa tersisih menjelang Aidilfitri nanti.
Khairil Amri Tajuddin
Corporate Communication
Pengurusan Aset Air Berhad
03 26145535 / 017 4060717
khairil@paab.my