PAAB kongsi rezeki imarahkan Ramadan

KUALA LUMPUR: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mengagihkan peruntukan sumbangan RM40,000 kepada golongan kurang bernasib baik bagi mengimarah keberkatan Ramadan tahun ini.

Peruntukan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) itu disampaikan pada majlis penyerahan zakat dan sumbangan PAAB prihatin, ‘Oh Seronoknya Raya 2019’, di ibu negara, hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis ialah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah; Pengerusi PAAB, Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Hadi Ali.

Selain sumbangan zakat berjumlah RM5,000 dan barangan elektrik kepada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barakh, Keramat AU3, PAAB menyediakan kelengkapan Aidilfitri dan duit raya kepada 60 anak yatim dari pertubuhan berkenaan.

Seiring pengertian Ramadan, PAAB menyerahkan sumbangan zakat RM1,000 kepada Khatijah Abdul Karim, balu kepada Allahyarham Mohammad Suhaimi Khamis yang terbabit dalam kemalangan memilukan di Lebuhraya Utara Selatan, Februari lalu.

Sumbangan lain termasuk barangan keperluan harian, kelengkapan Aidilfitri, barangan elektrik dan duit raya turut disampaikan kepada empat orang anak Allahyarham.

Memasuki penganjuran tahun kedua, PAAB meneruskan tradisi dengan menyediakan juadah berbuka puasa kepada 600 umat Islam di kariah Masjid Jami’ul Huda, Ampang, yang terletak berhampiran kawasan projek Loji Rawatan Air Langat 2.