PAAB Hulur Sumbangan Berjumlah RM65,000 Sepanjang Ramadan

PAAB HULUR SUMBANGAN BERJUMLAH RM65,000 SEPANJANG RAMADAN

AMPANG, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menghulurkan bantuan sebanyak RM65,000 kepada rumah anak yatim, masjid serta surau terpilih sempena Ramadan tahun ini. Sumbangan berkenaan bagi mengimarahkan bulan puasa dengan pelbagai program keagamaan dan amal jariah kepada golongan yang memerlukan.

Dengan sumbangan tersebut, Pusat Jagaan Budaya Harapan di Saujana Rawang, Selangor yang menempatkan 31 anak yatim dapat menyediakan kelengkapan Aidilfitri kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Manakala pada hari ini, 11 masjid dan surau di sekitar Hulu Langat, Cheras dan Ampang juga dapat menampung perbelanjaan untuk menganjurkan pelbagai program keagamaan di kariah masing-masing.

Sumbangan itu membuktikan keprihatinan PAAB  terhadap keperluan golongan umat Islam sepanjang Ramadan terutama sekali penduduk-penduduk di sekitar kawasan yang terlibat dengan Projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 termasuk di Hulu Langat Ampang dan Cheras.

Pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PAAB Prihatin : Ihya’ Ramadan yang diadakan di Masjid Taman Kosas ini juga, pelbagai program kemasyarakatan serta keagamaan diatur bagi mengimarahkan Ramadan. Antaranya, kuliah Dhuha yang disampaikan oleh Penceramah Bebas Ustaz Kamalulhysham Mohd Suhut, Majlis Khatam Al-Quran oleh pelajar Ma’ahad Tahfiz Nurul Hidayah serta kuliah Ramadan oleh Ustaz Dusuki Abdul Rani.

PAAB turut menyediakan 20 periuk bubur lambuk dengan kerjasama Adabi Consumers Sdn. Bhd. untuk diagihkan kepada kariah masjid dan surau berhampiran serta kepada penduduk setempat di sekitar Taman Kosas dan Bukit Indah, Ampang.

Manakala Majlis Penyerahan Sumbangan disempurnakan Pengerusi PAAB, Tan Sri Dato’ Seri DiRaja Tajol Rosli Ghazali kepada semua kariah masjid dan surau terpilih sebelum menikmati juadah berbuka puasa bersama-sama penduduk Taman Kosas sumbangan PAAB.

Program ini merupakan CSR keenam yang dianjurkan PAAB sejak Januari lalu termasuk di Johor dan Negeri Sembilan.

Khairil Amri Tajuddin

Corporate Communication

Pengurusan Aset Air Berhad

03 26145535 / 017 4060717

khairil@paab.my