PAAB HULUR BANTUAN PERSEKOLAHAN KEPADA 300 PELAJAR ORANG ASLI
GERIK, 30 November, Kira-kira 300 pelajar masyarakat Orang Asli Sekolah Kebangsaan RPS Air Banun menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) hari ini. Jelajah PAAB Prihatin yang mendapat kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Gerik turut disertai 150 sukarelawan terdiri daripada kakitangan PAAB, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Seremban dan Seri Iskandar, ahli Kelab Kembara Selangor (SAC) serta pejabat agensi-agensi kerajaan cawangan daerah Hulu Perak.
Program itu dirasmikan Datuk Saarani Mohamad Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan Perak dan turut dihadiri Pengerusi PAAB, Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tajol Rosli Ghazali serta Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Mahadzir Mustafa yang dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 400 ibu bapa dan penduduk sekitar.
Program yang diadakan menjelang pembukaan sesi baharu persekolahan itu disasar untuk membantu golongan kurang berkemampuan di kalangan masyarakat Orang Asli, khususnya kawasan luar bandar bagi membuat persiapan sekolah. PAAB menyumbang 300 beg sekolah dan alat tulis bagi meringankan beban ibu bapa di Air Banun.
Jelajah PAAB Prihatin turut diceriakan dengan aktiviti menarik termasuk kejohanan bola sepak, sukaneka kanak-kanak, pertunjukan masakan oleh Chef Adabi, pertunjukan kraftangan, pemeriksaan kesihatan, ceramah motivasi Ikon Orang Asli, dan lukisan mural.
Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif PAAB untuk mendekati masyarakat luar bandar khususnya di negeri yang telah bersetuju menyertai Penstrukturan Semula Industri Air termasuk negeri Perak yang menandatangani penstrukturan terbabit pada 23 Mei 2012.
Melalui penstrukturan semula industri air negeri Perak, projek-projek di bawah Skim Bekalan Air Kerian, Daerah Kerian, iaitu pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rawa, pembinaan Muka Sauk di Bagan Serai serta kerja-kerja pemasangan paip air mentah dan bersih di Daerah Kerian, bagi menampung peningkatan permintaan air bersih di daerah berkenaan. Peningkatan keperluan bekalan air bersih di Kerian adalah dianggarkan mencatat permintaan mencecah 30 juta liter air sehari menjelang 2025.
Sehubungan itu, PAAB yakin Skim Bekalan Air Kerian dengan jumlah kos pembiayaan sebanyak RM120 juta mampu memenuhi permintaan bekalan air tersebut terutamanya bekalan air ke sekitar Bagan Serai dan Parit Bundar di utara Perak. Apabila siap kelak, ia mampu menyalurkan 40 juta liter air sehari kepada 200,000 penduduk di daerah terbabit.
Selain Skim Bekalan Air Kerian ini, PAAB juga terlibat dalam pembiayaan untuk projek pemasangan dan penggantian paip air bersih di Daerah Kinta untuk memenuhi permintaan air yang semakin meningkat dan mengurangkan gangguan bekalan air di daerah tersebut. Projek pemasangan paip tersebut sepanjang 15km yang akan dimulakan pada tahun hadapan dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2020.
Khairil Amri Tajuddin
Corporate Communications
Pengurusan Aset Air Berhad
03 2614 5535 / 017 4060 717
khairil@paab.my