KUALA LUMPUR: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dalam proses memuktamadkan perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Kedah melalui Syarikat Air Darul Aman (SADA).
Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali, berkata rundingan bagi melaksanakan penstrukturan semula itu sudah dibuat bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sebelum ia dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini.
Beliau berkata, melalui penstrukturan semula itu, PAAB akan mengambil alih aset berkaitan bekalan air daripada SADA, selain hutang SADA akan turut dipindahkan kepada syarikat milik Kementerian Kewangan berkenaan.
“Apabila berlaku penstrukturan ini, segala hutang milik kerajaan negeri dan aset (berkaitan bekalan air) akan diserahkan kepada PAAB untuk disewa pajak semula dengan syarikat bekalan air, iaitu SADA beroperasi secara aset ringan.
“Ia bermakna SADA hanya akan memfokus kepada pengurusan dan operasi serta perkhidmatan pelanggan, manakala PAAB akan mengeluarkan dana jika ada keperluan untuk membina infrastruktur dan loji rawatan air di sesuatu kawasan dengan SADA hanya membayar sewa pajakan selama 45 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan rasmi bersama pengurusan kanan PAAB yang diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, di Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), di sini, hari ini.
Kunjungan itu turut disertai Ketua Bahagian Komersial PAAB, Mohamad Mohamad Nor; Ketua Bahagian Korporat PAAB, Rozaifee Abu Zaharim; Ketua Komunikasi Korporat PAAB, Norlida Mohd Ariff; dan Pengurus Kanan Bahagian Komersial PAAB, Rohaidah Bahariyah.
Rombongan itu disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Interim NSTP, Mustapha Kamil Mohd Janor, dengan turut disertai Ketua Pegawai Operasi NSTP, Datuk Yushaimi Maulud Yahaya; Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Rashid Yusof; dan Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid.
Selain itu, Pengurus Besar Komunikasi Komersial Strategi NSTP, Jeannie Leong Lee Eu; Pengarang Eksekutif Kanan BH (Mingguan/Rencana), Saidon Idris; Pengurus Besar Wilayah dan Sektor Awam, Pengiklanan NSTP, Zulkarnain Abd Talib; Pengarang Eksekutif Komersial Harian Metro, Husain Jahit; Ketua Komunikasi Korporat NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi; dan Pengurus Perkhidmatan Pelanggan dan Projek Khas, Pengiklanan NSTP, Mohammad Anis Abdullah.
Abdul Hadi berkata, dengan penstrukturan semula itu, masalah berkaitan bekalan air di Kedah dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun melalui pembinaan loji baharu.
“Sehingga kini, kita sudah mengambil alih perkhidmatan bekalan air di tujuh negeri dan masih ada baki tiga negeri, iaitu Kedah, Terengganu dan Pahang yang bakal kita strukturkan semula secara berperingkat,” katanya.
Berhubung lawatan itu pula, beliau berkata, PAAB berminat meneroka kerjasama dengan NSTP, khususnya dalam menjalankan kempen kesedaran berhubung menghargai kepentingan air kepada pengguna.
Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/05/559918/paab-dalam-proses-muktamadkan-perjanjian