AYER KEROH, 11 Disember 2018 – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan mengagihkan zakat berjumlah RM21,340.00 kepada 5 pertubuhan kebajikan di sekitar Melaka yang akan memanfaatkan 250 pelajar yang terdiri daripada anak yatim dan keluarga kurang bernasib baik.
Pertubuhan yang terpilih adalah Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj Daerah Melaka Tengah, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Daerah Jasin, Pertubuhan Kebajikan Darul Aitam Pernu, Lembaga Pengurusan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Paya Rumput Jaya dan Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah Bukit Katil.
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari menyampaikan zakat terbabit kepada wakil setiap pertubuhan itu dengan jumlah RM4,268.00 setiap rumah anak yatim.
Turut hadir, Pengerusi PAAB, Datuk Seri Dr. Nik Norzrul Thani, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Datuk Ir. Mohd Khalid Nasir dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali.
Selain itu, PAAB turut menyampaikan sumbangan beg sekolah dan botol air minuman kepada 250 pelajar yang menghuni kelima-lima rumah anak yatim berkenaan serta barangan keperluan lain.
Tahun 2018 menyaksikan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersetuju melantik PAAB sebagai wakil bagi pihak MAIWP untuk mengagihkan sendiri wang zakat kepada golongan asnaf yang layak melalui pemulangan semula sejumlah wang zakat yang dibayar berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan menerusi konsep Wakalah.
Ia diperolehi menerusi bayaran zakat pendapatan daripada kakitangan PAAB melalui potongan gaji tahunan kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP sepanjang 2017. Pengembalian semula wang zakat itu berikutan jumlah kutipan zakat pendapatan berkenaan melebihi sasaran RM100,000.00.
PAAB berharap, bantuan tersebut mampu meringankan beban kesemua pertubuhan kebajikan itu dalam menyediakan kelengkapan persekolahan kepada 250 pelajar yang menghuni rumah-rumah anak yatim menjelang sesi persekolahan 2019 tidak lama lagi.
PAAB ditubuhkan pada tahun 2006 melalui Akta Perkhidmatan Industri Air. Sejak itu, PAAB menggalas tanggungjawab besar apabila dilantik untuk menjadi badan pembiayaan bagi pembangunan infrastruktur industri perkhidmatan air dengan dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Khairil Amri Tajuddin
Corporate Communications
Pengurusan Aset Air Berhad
017 4060 717
khairil@paab.my