PAAB Agih Zakat Dan Sumbangan Hari Raya Kepada 70 Warga Emas
KAJANG, 4 Jun 2018 – PAAB berbesar hati menyerahkan zakat kepada Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia di Kajang, yang menempatkan 70 penghuni terdiri daripada warga emas dan remaja kurang upaya (OKU). Ia merupakan sebahagian daripada tujuh golongan asnaf yang dibenarkan menerima zakat menerusi konsep Wakalah dan merupakan sebahagian daripada agihan yang akan disumbangkan sepanjang tahun 2018.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersetuju melantik Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sebagai wakil bagi pihak MAIWP untuk mengagihkan sendiri wang zakat kepada golongan asnaf yang layak melalui pemulangan semula sejumlah wang zakat yang dibayar berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan menerusi konsep Wakalah.
Ia diperolehi menerusi bayaran zakat pendapatan daripada kakitangan PAAB melalui potongan gaji tahunan kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP sepanjang 2017. Pengembalian semula wang zakat itu berikutan jumlah kutipan zakat pendapatan berkenaan melebihi sasaran RM100,000.00. Pemberian zakat ini merupakan sebahagian dari agihan semula zakat PAAB sepanjang 2018.
Pada masa sama, PAAB turut menyumbangkan barangan keperluan harian penghuni warga emas, hasil sumbangan ikhlas 200 kakitangan serta baucer beli belah kepada setiap penghuni di Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia.
Dalam pada itu, Adabi Consumer Sdn. Bhd. turut menyumbangkan produk-produk makanan dan masakan untuk keperluan mereka sepanjang Ramadan dan Aidilfitri tahun ini. Menerusi pemberian zakat dan sumbangan berkenaan, PAAB berharap ia dapat membantu meringankan beban penghuni di Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi selain dapat mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain.
PAAB merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan yang ditubuhkan pada tahun 2006 melalui Akta Perkhidmatan Industri Air. Sejak itu, PAAB menggalas tanggungjawab besar apabila dilantik untuk menjadi badan pembiayaan bagi pembangunan infrastruktur industri perkhidmatan air dengan dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Khairil Amri Tajuddin
Corporate Communications
Pengurusan Aset Air Berhad
017 4060 717
khairil@paab.my