Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berpuas hati dengan kemajuan projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 di Hulu Langat, Selangor.
Ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan LRA Langat 2, beliau diberikan taklimat mengenai kemajuan projek oleh Pengarah Projek Langat 2, Kamaruddin Abdul Razak.
Beliau turut meninjau operasi Stream B LRA Langat 2 yang telah diserahkan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) kepada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. pada Januari lalu.
Turut hadir, Pengerusi PAAB, Dato’ Sri Hasan Arifin, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Dato’ Haji Ahmad Faizal Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Azizah Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali.
LRA Langat 2 dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2023 melibatkan 23 pakej meliputi kawasan termasuk Hulu Langat, Cheras, Sungai Besi, Bukit Jalil, Petaling, Bandar Kinrara, Bukit Dengkil, Ampang serta Keramat AU3.
Jabatan Komunikasi Korporat
26 November 2020

