WHAT'S ON

PAAB Sumbang RM50,000 Bantu Mangsa Banjir Di Temerloh

TEMERLOH, 3 Jan (Bernama) — Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memperuntukkan sumbangan bernilai RM50,000 kepada penduduk di sekitar daerah Temerloh, Pahang yang terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini.

Menurut Pengerusi PAAB, YB. Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, sumbangan pasca banjir itu melibatkan kepada 250 keluarga yang diharap dapat meringankan beban mereka  selepas ditimpa musibah banjir.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada pelbagai bantuan pasca banjir yang sedang giat digerakkan melibatkan jabatan-jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat-syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu bagi membantu semua mangsa banjir yang berhadapan masalah kewangan serta kesulitan untuk meneruskan kehidupan masing-masing.

Katanya, PAAB turut bersedih dan bersimpati dengan musibah yang melanda di negeri Pahang dan Selangor bulan lalu membabitkan banyak kemusnahan rumah kediaman, harta benda dan kenderaan yang ditenggelami banjir serta dihanyutkan arus deras.

Tambah beliau, sokongan padu dan jitu daripada keluarga Malaysia amat diperlukan pada waktu ini untuk memastikan semua mangsa banjir tidak kira warga emas, dewasa mahupun kanak- kanak dapat bangkit daripada trauma yang dialami serta menggesa supaya menghentikan segala tohmahan, buruk sangka dan tuding menuding kerana semua pihak telah melakukan usaha dan ikhtiar terbaik bagi membantu mangsa banjir khususnya di kedua-dua negeri tersebut.

Majlis Penyerahan Sumbangan Pasca Banjir PAAB Prihatin disempurnakan oleh Pengerusi PAAB, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib yang juga Ahli Parlimen Maran, Ahli Dewan Undangan Negeri Chenor, Mujibur Rahman Ishak serta Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Abdul Hadi Ali di Temerloh, petang tadi.

PAAB ditubuhkan pada tahun 2006 dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi membantu Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan Pelan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara sebagai syarikat yang bertanggungjawab membangunkan aset air di Semenanjung Malaysia dengan kadar pembiayaan yang berdaya saing.

Pahang merupakan antara negeri yang telah menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri selepas Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memuktamadkan perjanjian pada Disember 2020 membabitkan kos keseluruhan RM2.1 bilion.

Dalam tempoh 5 tahun akan datang, PAAB akan membantu PAIP mengukuhkan kedudukan kewangannya bagi membangunkan aset-aset air yang baharu di Pahang berdasarkan pendekatan bina dan pajak bagi menyelesaikan krisis air sekaligus membolehkan pengguna di seluruh negeri ini menikmati perkhidmatan bekalan air yang lebih efisyen.

Sumber : Bernama – https://www.bernama.com/bm/press/news.php?id=2039903

Posted in and tagged ,