WHAT'S ON

PAAB Peruntuk RM80,000 Baiki Sistem Saluran Air Maahad Muhammadi Perempuan

KOTA BHARU, 23 Jan — Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) memperuntukkan RM80,000 bagi membaiki sistem penyaluran air di Maahad Muhammadi Perempuan, dekat sini, melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat Lestari PAAB.

Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Abdul Hadi Ali berkata program membaik pulih itu melibatkan menaik taraf tangki air dan penggantian paip di bangunan sekolah serta asrama yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan.

“Masalah kekurangan air yang sering berlaku di Maahad Muhammadi Perempuan akan dapat diatasi apabila kerja baik pulih ini selesai selain berharap guru dan pelajar boleh menggunakan kemudahan bekalan air di sekolah berkenaan tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain itu, PAAB turut mengadakan Majlis Penyerahan Sumbangan Persekolahan PAAB Prihatin 2021 yang disempurnakan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di sekolah berkenaan, hari ini.

Hadir sama Pengurus PAAB Kelantan Abdul Karim Mohd Zain dan Pengetua Maahad Muhammadi Perempuan Ahmad Pakhruddin Deraman.

“PAAB menyerahkan bantuan persekolahan seperti beg sekolah, botol minuman dan pelitup muka kepada 300 pelajar sekolah berkenaan sebagai persiapan sebelum sesi persekolahan secara fizikal dibuka semula selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban ibu bapa pelajar terbabit yang menghadapi masalah kewangan  dalam menyediakan kelengkapan persekolahan kesan penularan COVID-19 sepanjang tahun lepas,” kata Abdul Hadi.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat Lestari PAAB merupakan antara inisiatif syarikat berkenaan yang bermatlamat untuk memastikan golongan sasar sentiasa dibantu di negeri-negeri yang telah menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Bekalan Air dengan PAAB.

— BERNAMA

https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1924989

Posted in and tagged