Sumber: Berita Harian, 3 August 2007
Oleh Ahmad Naim Tahir
Negeri Sembilan peroleh RM 10j setahun sebagai sagu hati selepas JBANS diperbadan
SEREMBAN: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi jaminan tarif air di negeri ini mampu dikekalkan pada kadar sedia ada untuk tempoh tujuh hingga 10 tahun lagi walaupun Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan (JBANS) diperbadankan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air (WSI) yang akan dikuatkuasakan akhir tahun ini.
Beliau berkata, jangkaan pengekalan tarif air itu berdasarkan unjuran perolehan serta perbelanjaan kewangan tahunan negeri ini yang bakal disokong tambahan perolehan sehingga RM10 juta setiap tahun selepas JBANS diperbadankan.
"Selepas JBANS diperbadankan, kita akan tubuh Syarikat Air Negeri Sembilan (SANS) dan dijanjikan mendapat bayaran sagu hati RM10 juta setahun daripada syarikat perbadanan itu.
"Proses memperbadankan JBANS ini akan dilaksanakan selepas enakmen baru bekalan air dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), pertengahan bulan ini," katanya, selepas mesyuarat Exco negeri, di sini, kelmarin.
Katanya, keputusan memperbadankan JBANS bagi memastikan operasi pembekalan air dikawal selia lebih teratur tanpa mengganggu fungsi kerajaan negeri yang masih bertanggungjawab terhadap sumber air, selain memastikan pengguna mendapat perkhidmatan lebih cekap dan berkesan berbanding sekarang.
Mohamad berkata, apabila penggubalan enakmen itu diluluskan, syarikat Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) yang diwujudkan Kerajaan Pusat akan mengambil alih aset seperti empangan dan loji rawatan air milik JBANS serta tanggungan hutang kerajaan negeri sebanyak RM1.1 bilion berkaitan perkhidmatan bekalan air.
"Kita akan menyewakan aset milik JBANS seperti loji dan empangan kepada PAAB dan melupuskan hutang dengan Kerajaan Pusat. Lagi pun, lebih RM1 bilion pinjaman dan hutang kita dengan Kerajaan Pusat membabitkan pengurusan air," katanya.
Beliau berkata, PAAB melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kemudian akan menyewakan semula aset berkenaan kepada SANS yang menguruskan perkhidmatan bekalan air serta sumber air mentah di Negeri Sembilan.
"Selepas ini, kita akan mewujudkan peraturan baru bagi mengawal sumber air mentah. Contohnya, pihak yang melencongkan air sungai ke kawasan mereka untuk tujuan pengairan atau pertanian perlu memohon kebenaran kerajaan negeri," katanya.
Sehubungan itu, Mohamad berkata, kerajaan negeri juga akan mewujudkan satu jawatan baru untuk mengawal selia sumber air mentah di negeri ini selepas proses memperbadankan JBANS selesai.
Sebelum ini, Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yeik, menggesa kerajaan negeri mempercepatkan proses pengkorporatan Jabatan Bekalan Air (JBA) masing-masing sebelum WSI dikuatkuasakan akhir tahun ini.
