Sumber: Berita Harian, Minda Lestari
Bersama Prof Dr Zaini Ujang
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
DALAM kedinginan Norway , Hari Alam Sekitar Sedunia (HASS) disambut meriah semalam di Tromso dengan tema penuh tanda tanya ‘Pencairan Ais – Topik Hangat?' Tromso terletak 70 darjah utara, iaitu empat hari pelayaran dari Bergen dan dua jam penerbangan dari Oslo , Murmansk atau Longyearbyen. Sebagai pintu masuk ke Artik, Tromso adalah pusat kebudayaan, intelektual dan fesyen – sesuai dengan namanya yang bermakna ‘Paris di Utara'.
Tromso dipilih menjadi tuan rumah sambutan HASS kerana peranan penting yang dimainkan penduduknya dalam pelestarian alam sekitar, khususnya pelestarian ais di Artik. Tromso juga menyerlah kerana kedudukan universiti, pusat breweri dan katedralnya paling utara dalam peta dunia.
Dengan penduduk 64,492 orang, Tromso dikenali sebagai pusat pendidikan, penyelidikan, pentadbiran, perikanan dan teknologi satelit rantau Artik. Selain itu, Tromso adalah bandar besar paling hampir dengan kutub Artik, kutub utara yang masih lagi ada lapisan ais.
Ais memainkan peranan dalam ekosistem dunia. Ais yang wujud dalam bentuk air laut, glasier, ais puncak gunung dan salji berfungsi memantulkan sebahagian haba matahari dan menyejukkan bumi.
Sebagai perbandingan, permukaan lain bumi yang berwarna gelap dan tidak diliputi ais akan menyerap haba. Apabila ais berkurangan, permukaan bumi akan lebih banyak menyerap dan memerangkap haba, kemudian meningkatkan lagi suhu bumi. Semakin panas suhu bumi maka semakin banyak pula ais mencair.
Peranan ais dalam ekosistem sangat penting dari segi sumber air mentah. Jika suhu bumi meningkat pencairan ais akan berlaku di puncak gunung yang boleh menjejaskan sumber air. Di negara bergunung-ganang, sumber air diperoleh juga menerusi aliran sungai yang hulunya kawasan berais.
Selain itu pencairan air di kutub akan meningkatkan lagi paras air laut. Ini memberi kesan besar kepada penduduk di kawasan pantai dan pulau kecil. Hakisan pantai akan meningkat. Sementara pulau kecil pula dijangka akan tenggelam sebagaimana yang sudah menjadi realiti di Selatan Pasifik.
HASS 2007 mengingatkan kita betapa pencairan ais akan menggugat kestabilan ekosistem. Sambutan HASS juga seharusnya menyedarkan kita bahawa usaha perlu dipergiatkan untuk memacu pertumbuhan ekonomi rendah karbon.
Menerusi model ekonomi ini, pelepasan gas rumah kaca (karbon dioksida, metana, wap air, oksida nitrus dan ozon) dikurangkan untuk membendung kesan peningkatan suhu bumi, sebagaimana dipersetujui 169 negara menerusi Protokol Kyoto 1997.
Objektif protokol itu ialah menstabilkan kepekatan gas rumah hijau dalam atmosfera pada tahap mengelakkan malapetaka terhadap sistem cuaca.
Di Malaysia, isu pencairan ais mungkin tidak begitu relevan dengan kehidupan harian kita. Kita lebih peka terhadap isu alam sekitar lain seperti banjir kilat, jerebu, pencemaran sungai dan pengurusan sumber asli, termasuk sumber air.
Dalam konteks HASS, komitmen dalam konteks pelestarian alam sekitar perlu diserlahkan menerusi kesediaan kita mengurangkan pencemaran dan membeli barangan serta perkhidmatan mesra alam. Kita juga perlu membantu pihak lain, khususnya kerajaan dan majikan, untuk menggubal dan melaksanakan dasar, sistem dan tadbir urus mesra alam.
Dalam konteks sumber dan perkhidmatan air misalnya, kita perlu bersedia untuk berpindah paradigma supaya sistem sedia ada dapat dipertingkatkan lagi. Ketika ini pihak kerajaan sudah menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang bertanggungjawab mengawal selia perkhidmatan bekalan air dan pembetungan secara lebih holistik, efektif, mapan dan berdaya maju.
Untuk menjayakan paradigma baru itu, semua jabatan bekalan air yang masih belum dikorporatkan dijangka akan berbuat demikian – seperti Negeri Sembilan, Kedah, Perlis, Perak, dan Pahang – sebelum akhir tahun ini.
Menerusi paradigma baru ini, aset perkhidmatan bekalan air dan pembetungan akan diserahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad, milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF). Sementara operasi dan penyelenggaraan perkhidmatan air akan diserahkan kepada pemilik lesen di kalangan syarikat dan badan korporat tempatan.
Sesuai dengan semangat HASS, kita perlu bersedia untuk lebih komited melestarikan alam sekitar. Untuk membolehkan mutu bekalan air dipertingkatkan, maka pihak penyedia perkhidmatan terpaksa memenuhi KPI (petunjuk utama prestasi) dalam pelbagai aspek.
Bagi mengurangkan pembaziran dan meningkatkan mutu kepenggunaan, maka bayaran dengan kadar lebih tinggi akan dikenakan jika mengatasi paras keperluan purata isi rumah. Untuk membolehkan kumbahan diuruskan dengan baik, kita juga seharusnya bersedia membayar perkhidmatan pembetungan disediakan.
Kos modal dan operasinya memang tinggi tetapi telah disubsidi kerajaan. Inilah faktor utama tarif air dan pembetungan di Malaysia antara termurah di dunia dengan mutu perkhidmatan semakin meningkat.
Seharusnya tidak timbul isu ‘memiliknegarakan' perkhidmatan air, apatah lagi isu ‘air dalam hak asasi manusia' sebagaimana disuarakan beberapa badan bukan kerajaan dan individu tertentu sejak kebelakangan ini.
Paradigma yang telah dirangka – sebelum 2007 atau menerusi SPAN – menyediakan ruang luas untuk membolehkan pihak swasta dan badan korporat terus terbabit dalam penyediaan perkhidmatan bekalan air dan pembetungan.
Sistem sedia ada (sebelum penubuhan SPAN) telah merangka mekanisme subsidi silang yang akan diteruskan dari segi penyediaan infrastruktur bekalan air dan pembetungan setempat.
Pemilik premis di kawasan rumah kos rendah di subsidi pemilik premis kos tinggi dan sederhana. Kerajaan pula, selain menyediakan sistem yang mapan, turut memberi subsidi dari segi penyediaan aset seperti empangan, loji rawatan dan sistem pengagihan.
Itulah yang yang perlu kita hayati sempena HASS. Yang nyata penduduk Tromso membuktikan komitmen mereka melestarikan ais di Artik sehingga diiktiraf badan antarabangsa menerusi penganjuran HASS 2007.
Dengan aspirasi yang sama, kita harus bertanya ‘apakah tahap kesanggupan dan pengorbanan kita untuk pelestarian alam sekitar?'
Penulis adalah Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia
