Sumber: Berita Harian | Selasa April 22, 2008
Dengan limpahan hujan melebihi 2,500 milimeter (mm) setahun, sememangnya negara kita belum lagi menghadapi krisis air yang serius, tetapi ini tidak bermakna kita tidak perlu berjimat atau mengamalkan dasar yang lebih lestari dalam penggunaan sumber air.
Pada peringkat global, krisis air adalah satu isu kemudahan dan kesihatan awam terbesar ketika ini.
Menurut laman web World Water Day 2008, hampir 1.1 bilion penduduk dunia (kira-kira 20 peratus daripada jumlah penduduk dunia) mempunyai masalah mendapatkan bekalan air minuman yang selamat. Laman web itu memetik perangkaan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan hampir 4,500 kanak-kanak terkorban setiap hari disebabkan kekurangan air minuman yang selamat.
Hakikatnya, daripada 2.2 juta kematian berpunca air minuman tidak selamat pada 2004, 90 peratus adalah kanak-kanak di bawah usia lima tahun.
Justeru, bertepatan sekali titah Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah ketika merasmikan Ekspo AsiaWater di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini, apabila baginda antara lain mengingatkan supaya rakyat Malaysia tidak mengambil mudah sumber air negara.
Menurut baginda, dengan jumlah penduduk dunia dijangka bertambah 30 peratus menjelang 2025, bekalan air bersih menjadi semakin kritikal.
Seperkara lagi yang disentuh Raja Dr Nazrin ialah pengurusan air kumbahan dan sanitasi.
Baginda bertitah, walaupun kos merawat air kumbahan adalah tinggi, kesan terhadap alam sekitar dan manusia akan menjadi lebih tinggi jika ia tidak dirawat.
Malaysia sememangnya bumi bertuah kerana mempunyai bekalan air yang mencukupi setakat ini. Dianggarkan 98 peratus penduduk bandar menikmati bekalan air paip, manakala 95 peratus penduduk luar bandar mendapat bekalan air bersih.
Bagaimanapun, pengurusan air yang berhemat semakin diperlukan memandangkan permintaan air semakin meningkat dengan bertambahnya bilangan penduduk di samping pembangunan pesat sektor perindustrian.
Perubahan cuaca yang sering dikaitkan dengan peningkatan suhu bumi atau juga dirujuk sebagai pemanasan global turut memberi impak kepada sumber bekalan air.
Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 2 April 2007 dilihat sebagai satu usaha untuk memacu reformasi industri perkhidmatan air negara.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Teknologi Malaysia dan ahli SPAN, Prof Datuk Dr Zaini Ujang, penubuhan SPAN dan Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta IPA) akan menjadikan mekanisme pengurusan perkhidmatan air negara ini lebih berdaya maju, telus dan seragam.
"Sektor perkhidmatan air sangat lembap sejak merdeka lagi. Ini berlaku kerana ia terlalu bergantung kepada inisiatif kerajaan, berbanding sektor utiliti lain seperti tenaga dan komunikasi.
"Dengan kerangka sistem pengurusan lebih mantap, pelbagai agensi yang berkaitan dengan bekalan dan perkhidmatan air dapat berfungsi dengan lebih cekap dan berkesan khusus dari segi tugas menguruskan peruntukan serta pelaksanaan projek berkaitan," katanya.
Memandangkan air adalah sumber alam semula jadi yang tiada nilainya, sudah pasti pelbagai usaha perlu diambil supaya bekalannya tidak berkurangan atau kualitinya tidak terjejas.
Justeru, apabila Kerajaan Selangor bercadang memberi air percuma untuk 20 meter padu (20,000 liter) pertama untuk rakyat negeri itu berkuat kuasa 1 Jun ini, ia mengundang pelbagai komen dan reaksi.
"Cadangan itu memang menarik bagi golongan berpendapatan rendah. Bagaimanapun, daripada pihak yang berwajib perlu juga mengambil kira perkara ini dari sudut perundangan, kewangan dan pelestarian sumber air," katanya Dr Zaini yang juga Timbalan Presiden Persatuan Air Malaysia.
Beliau berkata, jumlah 20 meter padu juga adalah terlalu banyak untuk diberikan secara percuma dan jumlah yang wajar diberi seharusnya kurang daripada 10 meter padu.
"Air yang diberi percuma ini mesti digunakan secara berhemat. Untuk jumlah air yang digunakan berikutnya, kadar harga yang lebih tinggi perlu dikenakan berbanding kadar semasa. Bagaimanapun, sebarang kenaikan memerlukan kelulusan SPAN," katanya.
Dr Zaini mengesyorkan sebarang dasar mengenai air perlu mengambil kira konsep triple bottom line yang mengambil kira tiga elemen penting iaitu ekonomi, sosial dan alam sekitar.
"Dari segi ekonomi, syarikat yang menyediakan perkhidmatan mestilah mudah mendapat keuntungan. Dari segi alam sekitar pula, mereka yang menggunakan lebih air perlu dikenakan bayaran lebih tinggi berbanding yang sedia ada.
