Sumber: Utusan Malaysia | Jumaat April 18, 2008
KUALA TERENGGANU 17 April - Kerajaan negeri Terengganu akan menghapuskan caj sewa meter air sebanyak 80 sen sebulan oleh Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) mulai 1 Mei ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ketika mengumumkan perkara itu berkata, caj yang dimasukkan ke dalam bil bulanan pengguna itu akan ditanggung sepenuhnya oleh Satu selepas ini dan pengguna tidak perlu lagi dibebani oleh pembayaran tersebut.
Menurutnya, bayaran sewa itu yang berjumlah antara RM500,000 hingga RM700,000 akan diserap ke dalam bajet Satu.
"Takkan projek besar kerajaan negeri boleh buat, caj sewa meter air 80 sen pun rakyat kena bayar," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan kakitangan awam di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Caj tersebut mula dikenakan kepada pengguna Jun tahun laIu bagi menampung kos pemasangan semula meter air dari tembaga yang sering menjadi sasaran pencuri kerana nilainya tinggi.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Datuk Ir. Wan Ngah Wan Ali berkata, dengan caj yang dikenakan itu, para pengguna tidak perlu lagi membeli meter baru sekiranya ia dicuri kerana Satu akan bertanggungjawab menggantikannya.
Katanya, caj sewa yang dikenakan itu akan menjadi satu cagaran bagi membolehkan pengguna mendapat meter ganti secara percuma.
Tambahnya, caj jtu dikenakan terhadap pengguna domestik dan komersial yang menggunakan meter paip kecil bersaiz antara setengah hingga 3/4 inci sahaja.
Sementara itu, Ahmad memberi jaminan bahawa kerajaan negeri juga akan mengkaji semula apa jua perkara yang melibatkan rakyat dari semasa ke semasa sekiranya ia baik untuk dilaksanakan.
